1. Kami merakamkan rasa dukacita terhadap perkembangan politik negara yang bukan sahaja melibatkan parti politik tetapi juga Istana Negara. Dalam keadaan ekonomi dan pandemik Covid19 yang semakin menular, ini bukanlah satu perkara yang diperlukan oleh rakyat sekarang.

2. Dua kenyataan media Istana Negara terhadap tindakan kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat sebelum mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, serta kenyataan balas daripada YAB Perdana Menteri telah memberikan persepsi hubungan yang kurang harmoni di antara kerajaan dan istana.

3. Sudah pasti ramai yang beranggapan bahawa tindakan ‘belakang pintu’ kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat tersebut semata-mata mahu mengekalkan kuasa disebabkan nisbah majoriti yang amat tipis di Parlimen. Samada betul atau tidak, ianya hanya akan terus mencalar kewibawaan kerajaan dan mengurangkan keyakinan rakyat jelata.

4. Keputusan yang telah mengheret Istana Negara untuk campur-tangan sebegitu rupa buat pertama kali dalam sejarah membayangkan bahawa kerajaan perlu lebih telus dalam membuat keputusan-keputusannya, terutama dalam keadaan ekonomi serta tahap kesihatan rakyat yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.

5. Keabsahan status kerajaan nampaknya akan terus dipersoalkan apabila persidangan Parlimen yang sepatutnya disambung pada 2 Ogos 2021 ini ditangguhkan lagi. Walau apa pun alasan yang diberi, kita bimbang kesannya nanti hanya akan memburukkan keadaan. Dalam kejadian terkini, sudah ada protes-protes jalanan yang berpotensi mencetus kluster jangkitan baharu dan menambah beban kepada kemudahan sistem kesihatan yang hampir runtuh.

6. Krisis politik dan kepimpinan ini terus berpanjangan selagi penyelesaian yang segera dan tegas tidak dilaksanakan. Selagi itu juga kemelut ekonomi negara tidak akan dapat diutamakan, sektor perniagaan akan hancur musnah, dan rakyatlah yang akan paling akan menderita lantaran hilang mata pencarian serta orang tersayang.

7. Kemelut politk ini akan berpanjangan jika sekiranya penyelesaian yang segera dan tegas tidak dilkasanakan. Akibatnya kedudukan ekonomi negara akan semakin merudum, rakyat akan terus kelaparan apabila semakin ramai yang hilang pendapatan dan kematian akan meningkat. Akibatnya juga, agenda mengarahkan halatuju pembangunan negara kepada suatu yang lebih menjaga kepentingan rakyat daripada kepentingan modal; mencapai keseimbangan ekonomi dan kemakmuran bersama – terabai.

8. Dalam keadaan genting kini kami menyeru agar parti2 politik dari pihak kerajaan, pembangkang dan blok bebas supaya bekerjasama sebagai satu pasukan dan tidak terus bercakaran sesama sendiri dan mengganggu proses pemulihan dari pandemik yang masih jauh dari reda ini. Selagi mereka terus bercakaran sambil saying melemparkan cemuhan dan kata2 nista antara satu sama lain, selagi itulah permasalahan COVID-19 ini tidak akan tuntas. Rakyat juga kini rata2 sudah hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri dan ini dapat dipulihkan segera dengan membuktikan kepada rakyat para politikus dapat membuktikan secara telus akan wujudnya kesungguhan dan kerjasama dalam membendung pandemik ini secara kolektif.

9. Sebagai ikhtiar mencari penyelesaian kepada situasi yang semakin meruncing ini, maka kami mendesak agar pihak kerajaan segera mengusulkan kepada Yang DiPertuan Agong tindakan-tindakan berikut:

a. MENYAMBUNG TEMPOH DARURAT yang sepatutnya tamat pada 2hb Ogos 2021 kepada satu tarikh yang dianggap munasabah oleh Yang DiPertuan Agong bertujuan menstabilkan keadaan politik dan mengawal penularan pandemic Covid19 yang semakin tinggi hari demi hari.

b. MEWUJUDKAN MAJLIS GERAKAN NEGARA PANDEMIK bagi membolehkan Yang DiPertuan Agong menentu serta memilih tokoh-tokoh yang dirasakan sesuai oleh Baginda untuk meneruskan pentadbiran. Dalam hal ini kami mencadangkan komiti MAGERAN tersebut harus diteraju secara non-partisan , bagi memastikan politik kepartian tidak mendahului kepentingan membela nasib rakyat. Ahli majlis mestilah mestilah yang berjiwa rakyat bukan mereka yang ingin menjaga kepentingan modal atau kepentingan jangka pendek kerana kita perlu melakukan reset yg bermakna pada sistem ekonomi dan politik sekarang!

c. MENGADAKAN PILIHANRAYA UMUM KE-15 sebaik sahaja tempoh MAGERAN ini tamat iaitu pda Mei 2023 atau lebih awal lagi, bagi mengembalikan hak memilih kerajaan sepenuhnya kepada rakyat.

Hakikatnya, Yang DiPertuan Agong sebenarnya masih mempunyai kuasa dibawah Darurat untuk bertindak sebelum jam 11:59 malam ini. Justeru, dalam julat masa yang begitu sempit dan genting ini, kita menuntut agar semua wakil rakyat untuk menghentikan percaturan politik, sebaliknya membetulkan iktikad untuk membantu rakyat dan dapat menerima kenyataan bahawa MAGERAN serta ihsan Yang DiPertuan Agong adalah penyelesaian terbaik buat rakyat dan negara kia yang tercinta ini.

Kenyataan Bersama ini dibuat oleh Gabungan NGO-NGO berteras Melayu atau Islam seperti berikut:

1. Pertubuhan Pembela-Pembela Islam ( PEMBELA)
2. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)
3. Persatuan Peguam Muslim Malaysia ( PPMM)
4. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Turut Menyokong:

5. AMAL SEJAGAT MALAYSIA
6. Himpunan Anak Kedah SeMalaysia ( HaKEM)
7. Gabungan Demi Malayu
8. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM)
9. Gerakan Ekonomi Malaysia ( GEM)
10. Pertubuhan Pembangunan & Inovasi Wanita (WADI Malaysia)
11. PAKAR Malaysia
12. Pertubuhan Sinar Rahmah
13. MyVoice Malaysia