1. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) menganggap keputusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memindahkan seliaan Lembaga Tabung Haji (TH) daripada Jabatan Perdana Menteri(JPM) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) semalam sebagai tidak tepat.

2. Keputusan sama yang pernah dibantah ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini nampaknya mahu dihidupkan semula. Tambahan lagi apabila kenyataan ini dibuat hanya beberapa hari sahaja selepas pengumuman penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

3. Dewan Melayu berpandangan Kementerian Kewangan tidak boleh dan tidak patut sewenang-wenangnya membuat arahan tanpa melalui proses konsultasi yang lebih menyeluruh memandangkan ia berkemungkinan menyalahi fungsi serta peranan utama penubuhan Tabung Haji sendiri iaitu:

a. Untuk membolehkan umat Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat.

b. Untuk membantu umat Islam menggunakan wang simpanan mereka bagi mengambil bahagian yang lebih aktif dalam aktiviti penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam.

c. Untuk memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardu haji dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

4. Dewan Melayu mengakui bahawa Tabung Haji mempunyai banyak isu-isu legasi lama terutama melibatkan tadbir urus sehingga sudah ada desas desus untuk meminda Akta Tabung Haji 1995 bagi mencapai maksud mengubah keadaan. Walaubagaimanapun, dalam keadaan negara sedang berperang melawan Covid-19 yang sedang meragut ratusan nyawa sehari, tindakan „mengacau‟ tabung akhirat orang Islam ini seperti “menuang garam pada luka”. Sudahlah ramai yang terpaksa menunggu puluhan tahun sebelum giliran haji mereka tiba, kini terpaksa pula menyerahkan hal-ehwal simpanan mereka dibawah tanggungjawab institusi kewangan yang cukup berbeza sekali falsafah penubuhannya.

Darurat Kesihatan masih berkuatkuasa, dan pada masa yang sama YAB Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Dewan Melayu beranggapan bahawa kerajaan haruslah lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan merombak institusi Lembaga Tabung Haji, serta tidak terlalu tunduk kepada tekanan institusi atau politik yang boleh memadamkan legasi penubuhan Tabung Haji oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz ini. Sudah terlalu banyak contoh kegagalan institusi pelaburan Melayu-Bumiputera-Islam yang akhirnya “ibarat tikus membaiki labu.”

6. Dewan Melayu juga menuntut agar penglibatan pihak tidak berkepentingan, pertubuhan bukan kerajaan, pakar syariah dan undang-undang serta pemain industri mesti dilaksanakan secara telus dan terbuka bagi memastikan kepentingan kebajikan bakal jemaah terus dimuliakan dan permasalahan besar yang sebenar dapat ditangani secara bermusyawwarah. Kita yakin jika dilakukan dengan ikhlas dan tersusun, masyarakat Islam khususnya akan dapat memahami dan menerima solusi yang terbaik buat mereka.

7. Justeru, memandangkan Suruhanjaya siasatan diraja RCI dibawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji masih lagi berjalan; Dewan Melayu menggesa agar YAB Perdana Menteri membatalkan keputusan Menteri Kewangan sekaligus mengarahkan agar Tabung Haji terus berada dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sehingga situasi pandemik benar-benar reda dan kita dapat kembali duduk semeja demi mencari penyelesaian yang benar-benar tuntas buat hampir 10 juta pendeposit Tabung Haji.

Sekian, terima kasih

ABDUL HALIM BIN HUSIN
PRESIDEN DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA &
PENGERUSI TETAP MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU (MTEM)