DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA (DEWAN MELAYU) memandang serius perkembangan ekonomi dan politik mutakhir ini yang berpotensi memberi pukulan maut buat komuniti niaga Melayu yang sebahagian besarnya sudah nyawa-nyawa ikan.

2. Kebimbangan DEWAN MELAYU ini telahpun dinyatakan dalam pelbagai laporan akhbar serta media apabila kajian kami sendiri menunjukkan 93.4% di kalangan peniaga dan usahawan Melayu & Bumiputera telah terjejas dalam PKP 3.0 dan PPN ini yang sedang berlangsung. Kegusaran ini seterusnya diperkuatkan lagi dengan laporan-laporan seperti berikut:

a. Kenyataan YB Menteri Kementerian Pembangunan Keusahawanan & Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melaporkan sejumlah 284,200 (49%) daripada 580,000 Pengusahaniaga Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bakal mengalami kegagalan langsung (total) serta akan menyumbang kepada 7 juta penganggur sekiranya PKP berlanjutan sehingga Ogos 2021;

b. Industries Unite, pertubuhan yang mewakili 115 Persatuan Perdagangan dan Dewan Perdagangan yang melibatkan 3.3 juta peniaga, mengatakan ekonomi negara sudah ditahap “breaking point”, justeru menuntut tindakan tuntas termasuk menggali strategi baharu bagi membolehkan ekonomi dapat dibuka sepenuhnya lebih awal;

c. The Economist Normalcy Index mengunjurkan Malaysia sebagai negara terakhir daripada 50 kuasa ekonomi dunia yang akan pulih daripada wabak Covid-19.

3. Kenyataan diatas sudah tentulah berasaskan kepada senario semasa yang kelam-kabut. Antaranya ialah keputusan-keputusan antara kementerian yang sering berubah-ubah akibat daripada tekanan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan masing-masing. Ini telah menyebabkan kurangnya ketegasan dalam melaksanakan ketetapan atau perintah yang telah dibuat. Sikap “kerajaan tahu semua” sehingga sanggup memencilkan suara-suara yang mewakili kepentingan rakyat sehingga menjurus kepada keputusan yang berat sebelah yang acapkali terpaksa diperbetulkan sehingga menjejaskan kredibiliti kerajaan.

4. Rakyat juga menjadi mangsa kurangnya kesepakatan diantara agensi. Sikap Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) yang seolah-olah tidak sabar-sabar untuk membuka sehingga 80% industri dalam kenyataannya baru-baru ini jelas bercanggah dengan PKP 3.0/PPN Tahap 1 yang masih dan sedang berkuatkuasa terutama di kawasan-kawasan yang telah dikenakan PKPDiperketatkan (PKPD). Tindakan sedemikian amat mengecewakan rakyat setempat dan seluruh negara yang telah memberikan komitmen selama PKP 3.0 dilaksanakan sejak 12/5/2021. Pengorbanan apakah yang harus dilakukan oleh Peniaga-peniaga PMKS demi kelangsungan hidup yang semakin terjejas.

5. Tindakan-tindakan yang mengelirukan dan tidak konsisten ini bukan sahaja menekan rakyat, tetapi akhirnya merugikan kerajaan juga. Masa kini, bukan sahaja rakyat B40 yang sedang menderita malahan sebahagian besar M40 turut yang sudah layak dikategorikan sebagai B40 menjadikan B60. Bahkan terkini, sudah mulai kedengaran tuntutan daripada T20 pula agar mereka juga layak untuk menerima bantuan daripada Program Pemulihan Negara, T10:M20:B60. Ini adalah tanda yang sakit ekonomi yang perlu diubati dan dipulihkan segera.

6. Bilamana jurang ekonomi ini semakin melebar dan lambat direncanakan pemulihannya, maka kita sudah boleh melupakan hasrat untuk mencapai matlamat yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerana PMKS yang sepatutnya menjadi penyumbang kedua kepada ekonomi, yang pada masa ini majoritinya diusahakan oleh Melayu & Bumiputera runtuh.

7. DEWAN MELAYU berpandangan bahawa kita semua mempunyai ruang dan peluang untuk memperbaiki keadaan. DEWAN MELAYU menyarankan kepada semua pihak untuk berganding usaha dalam memperbaiki keadaan yang wujud sekarang ini. Pihak Kerajaan perlulah memastikan peruntukan RM150billion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dilaksanakan melalui program pemulihan yang betul serta dibelanjakan dengan berhemah.

8. DEWAN MELAYU juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains & Teknologi Inovasi dalam meningkatkan program vaksinasi yang pada masa ini telahpun berupaya melakukan 350 ribu suntikan sehari. Begitu juga dengan komitmen bekalan vaksin oleh negara-negara pengeluar utama. Pencapaian ini hendaklah diteruskan serta digandakan lagi agar matlamat imunisasi 80% (satu dos) dapat dicapai menjelang Ogos ini malahan lebih awal.

9. Tindakan di pihak berwajib hendaklah bertindak secara seragam dan seiringan bagi memastikan kes jangkitan di bawah 6,000 sehari secara konsisten, apatah lagi untuk menurunkan angka tersebut ke bawah 4,000 bagi melepasi Fasa 1 PKP. Sepertimana yang kita ketahui sekarang ini ancaman varian baharu seperti Delta, Lambda, serta peningkatan kadar jangkitan secara sporadik yang telah mencecah 80% di kalangan kluster-kluster tertentu.

10. Dan kita masih belum betul-betul berbicara soal mengembalikan ekonomi kepada normal. Laporan terbaru Agensi Pelaksanaan Ekonomi & Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) yang sudah mencapai edisi ke-60 itupun masih jauh daripada menyelesaikan kemelut ekonomi Melayu dan Bumiputera khususnya.

11. Pihak Yang diberikuasa mestilah lebih bertegas dalam membuat keputusan dan tidak terikut-ikut dengan lenggok segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Akta 446 mesti dikuat-kuasakan dan dipatuhi sepenuhnya sebelum keputusan untuk membuka kilang atau mana-mana sektor industri diluluskan. Sekiranya gagal kali ini, kita akan selamanya gagal untuk mencari jalan keluar. Kami mengulangi gesaan kami dalam perkara ini iaitu mana-mana kilang yang menjadi punca kluster hendaklah ditutup segera dan dikuarantinkan pekerjanya secara bersama untuk tempoh 21 hari. Rakyat dan pengusahaniaga mikro telah berkorban terlalu lama (50+) sehinggakan ianya melemaskan kelangsungan hidup mereka. Jangan persia-siakan pengorbanan besar ini.

12. DEWAN MELAYU turut mengulangi gesaan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu(MTEM) agar bantuan kepada golongan yang terkesan harus dipercepat, dipermudah dan digandakan. Moratorium otomatik dan pemberian susidi upah mesti bersedia untuk dilanjutkan tanpa syarat. Penglibatan NGO dan pakar industri mesti lebih diperluaskan agar Kerajaaan dapat membuat keputusan-keputusan yang lebih bijaksana dan saksama. “Bulat air kerana pembetung, bulat suara kerana muafakat.”

13. DEWAN MELAYU berharap dengan perlantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri yang bakal memimpin Kluster Keselamatan dapat melaksanakan tugasnya dengan taat, jujur dan lebih bertimbang-rasa dengan keadaan rakyat.

14. Akhir sekali, kita menyeru agar kebisingan politik yang semakin menjadi-jadi dapat dipadamkan buat sementara waktu sehingga ancaman pandemik benar-benar dapat dilandaikan. Sesungguhnya tidak akan ada bencana yang lebih besar buat Malaysia yang tercinta ini selain daripada membiarkan pertembungan antara tsunami politik dan gelombang keempat pandemic Covid19.

Sekian, terima kasih

Untuk DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA

ABDUL HALIM BIN HUSIN

PRESIDEN

27 Zulkaedah 1442H, 8 Julai 2021