KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memperkenalkan Program Pemudah Cara Keberhutangan bagi membantu orang ramai mengurangkan beban tanggungan hutang.

Melalui program itu, DPMM berperanan sebagai pemudah cara perbincangan di antara penghutang dan pemiutang secara langsung, selain dalam aspek pembiayaan dan penjadualan semula pinjaman (R&R).

Presidennya, Dr Abd Halim Husin, berkata program itu yang mendapat kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), institusi kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menjelajah 32 daerah seluruh negara bermula bulan ini.

Katanya, program terbabit antara lain untuk membantu usahawan atau peniaga dalam pengurusan hutang ketika moratorium bersasar dimulakan bagi tempoh Oktober hingga Disember.

Selain itu, beliau berkata, ia juga untuk membantu peminjam daripada lapisan masyarakat mengenai kesedaran membayar hutang dan membantu perundingan penyelesaian atau penstrukturan hutang peminjam.

“DPMM bercadang untuk membantu semua lapisan masyarakat dalam hal keberhutangan dengan memainkan peranannya sebagai pemudah cara.

“Kami menjadi pemudah cara perbincangan antara penghutang dan pemiutang secara langsung. Kami juga berperanan sebagai pemudah cara program pembiayaan dan penjadualan semula pinjaman (R&R),” katanya kepada BERNAMA di ibu pejabat DPMM, di sini.

Beliau berkata, program itu antaranya menyarankan supaya pembayaran balik oleh peminjam hendaklah diterima oleh pemiutang walaupun RM1 sehari atau RM30 sebulan.

“Selain itu, baki hutang yang pokoknya hanya tinggal 20 peratus daripada jumlah hutang boleh dilangsaikan dalam tempoh tiga bulan tanpa dikenakan sebarang bayaran keuntungan, penalti, denda atau apa-apa caj perkhidmatan,” katanya.

Abd Halim berkata, siri jelajah ke lima daerah iaitu Putrajaya, Muar, Seremban 2 adalah pada 17 Oktober, diikuti Melaka Tengah pada 19 Oktober dan Sungai Petani pada 21 Oktober dengan sasaran kehadiran 200 hingga 500 peserta bagi setiap daerah.

Sementara itu, Setiausaha Agung DPMM, Amirhamzah Karim, memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengesahkan pelucutan serta-merta 12 ahlinya.

Katanya, mereka didapati melanggar Fasal 8.12.5 Undang-Undang dan Perintah Peraturan DPMM, iaitu membawa apa jua perkara berkenaan dengan keahlian atau Dewan ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan Dewan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua 12 ahli bertindak sedemikian susulan ketidakpuasan hati kerana tidak terpilih memegang apa-apa jawatan ketika mesyuarat agung tahunan DPMM ke-54 pada 26 Februari lalu.

Capaian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/737814/dpmm-laksana-program-pemudah-cara-keberhutangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *