KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan beberapa langkah untuk pertimbangan kerajaan bagi meringankan beban usahawan yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cadangan itu juga bagi memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan meraih manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat, yang akan dibentangkan kerajaan pada hujung bulan ini.

Presiden DPMM merangkap Pengerusi MTEM, Abd Halim Husin, berkata antara langkah boleh dipertimbangkan adalah menangguhkan beberapa pembayaran dan tuntutan yang diwajibkan terhadap perniagaan.

“Pembayaran dan obligasi wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bayaran berkaitan lain dicadangkan supaya diberi pengecualian sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan yang akan datang.

“Ia bagi memberi kemudahan kepada peniaga terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili lebih 70 peratus daripada populasi perniagaan di Malaysia supaya mereka dapat meneruskan operasi.

“Kerajaan juga diharap mempercepatkan pengeluaran dana PKS yang sedang atau sudah diluluskan. Ini kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, syarikat kecil lebih memerlukan dana berbanding orgnisasi besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama kedua-dua organisasi itu yang turut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, hari ini.

Bagi bank dan badan pembiayaan lain, beliau berkata, DPMM dan MTEM menyarankan mereka mengeluarkan lebih banyak pinjaman mudah kepada usahawan bagi memudahkan kecairan dan juga pembiayaan pembangunan semula perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

“Kita mencadangkan kadar faedah sebanyak tiga peratus hingga empat peratus dan pembayaran balik pembiayaan dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun bagi membantu mereka kembali menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, pengecualian pembayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan cukai berkaitan pelancongan dan industri yang kehilangan punca pendapatan juga wajar dipertimbangkan dalam pakej rangsangan itu.

“Pengecualian SST dan cukai-cukai lain walaupun mengurangkan kutipan cukai kerajaan, amat penting dan signifikan kepada kecairan dalam pasaran dan mengurangkan tekanan kepada perniagaan, terutama yang berskala kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau memuji pengecualian cukai pelancongan yang disifatkan amat baik bagi mempromosi industri pelancongan yang terjejas teruk sepanjang krisis COVID-19.

“Dicadangkan pengecualian cukai pelancongan itu diberikan daripada April sehingga Disember 2020,” katanya.

Abd Halim berkata, dalam usaha mengurangkan impak kelembapan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan wajar memberi tumpuan terhadap PKS berikutan sektor itu memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.

“Kami mencadangkan supaya pelepasan berganda diberikan kepada majikan yang tetap membayar gaji pekerja yang sepatutnya bercuti di bawah kategori cuti tanpa gaji.

“Kami juga berpendapat, jika insentif diberikan kepada majikan yang menggajikan mereka dalam kategori B40 (golongan berpendapatan 40 peratus terendah), kebajikan pekerja kategori itu lebih terjamin. Misalnya, Kerajaan Norway sanggup membayar 75 peratus gaji pekerja PKS,” katanya.

Beliau turut menyarankan beberapa langkah dalam memastikan ekonomi negara tidak terus lumpuh ketika kerajaan berusaha memastikan kepentingan dan kaedah tersusun bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Katanya, perkara yang penting adalah memastikan fungsi-fungsi penyampaian kerajaan yang kritikal dalam ekonomi dapat terus berjalan.

Selain, pelaksanaan dasar kerja dari rumah dan pentadbiran elektronik (eAdministration) oleh kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bank serta an syarikat bagi memastikan transaksi ekonomi terus berjalan.

“DPMM dan MTEM menyokong dan menyambut baik segala arahan kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan, namun pada masa sama kerajaan perlu kreatif dan berani supaya kegiatan ekonomi dapat diteruskan,” katanya.

Capaian: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/03/668569/covid-19-dpmm-mtem-harap-insentif-untuk-usahawan-pks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *