Ikuti kupasan menyeluruh melalui temubual eksklusif Timbalan Presiden DPMM mengenai Isu Ali Baba serta langkah yang di ambil oleh Dewan untuk menanganinya.

Soalan (S): Apa pandangan Tuan mengenai budaya Ali Baba dalam masyarakat?

Jawapan (J): Konsep Ali Baba dalam perniagaan dahulu tidak sama dengan sekarang. Asalnya, peniaga Melayu terbabit Ali Baba kerana apabila menerima kontrak kerajaan, mereka tidak mampu melaksanakan keseluruhan atau sebahagiannya berikutan kekurangan kepakaran. Maka, kontrak diserahkan kepada pihak kedua, kebiasaannya peniaga bangsa lain yang lebih berkemampuan.

Berbeza sekarang, ada kumpulan tertentu mahu menguasai sebanyak mungkin rantaian bekalan dan projek kerajaan, termasuk yang dikhaskan untuk Bumiputera. Contohnya, dalam sektor pembinaan, mereka hendak kuasai daripada pembekalan paku hingga simen dan lain-lain. Maka, diwujudkan 10 syarikat misalnya dan dilantik proksi dalam kalangan pekerjanya atau kenalan berbangsa Melayu.

Semua syarikat itu kemudian masuk tender yang dikhaskan kepada Bumiputera, sedangkan semua 10 syarikat itu dimiliki individu sama yang bukan Bumiputera. Ini kebanyakan amalan Ali Baba sekarang yang mempergunakan orang Melayu. Menerusi cara ini, mereka mengawal kebanyakan rantaian bekalan, sekali gus mengawal harga.

S: Benarkah budaya negatif ini membarah dalam masyarakat, khususnya Bumiputera?

J: Dulu ya, namun kebanyakan atas sebab kemampuan merealisasikan projek diterima. Namun, mentaliti majoriti peniaga Melayu sekarang sudah berubah. Dalam DPMM , ramai anak muda menceburi pelbagai bidang perniagaan dan menjalankannya sendiri serta berjaya menjadi pembekal utama barangan atau teknologi tertentu di Malaysia dari negara luar.

Dahulu, peniaga Melayu tidak sampai ke tahap mahu menguasai rantaian pembekalan. Segelintir masih amalkan Ali Baba dan kebanyakannya kerana isu rasuah serta integriti. Secara umumnya, amalan Ali Baba, sama ada dalam kalangan Bumiputera atau bangsa lain akan berterusan selagi isu rasuah dan integriti tidak diatasi.

S: Bagaimana dengan dakwaan peranan ‘orang dalam’?

J: Dakwaan peranan orang dalam seperti penjawat awam terbabit dalam meluluskan tender kebanyakannya hanya momokan. Memang ada seorang dua tidak berintegriti, tetapi majoritinya tidak begitu. Tidak wajar salahkan penjawat awam kerana saya sendiri melihat betapa serius mereka menjalankan tugas.

Ali Baba sekarang berlaku kerana peniaga tidak jujur cuba beat the system (mengatasi sistem). Kelulusan diberikan memang pada perniagaan orang Melayu, tetapi orang Melayu itu hanya proksi, atau namanya digunakan tanpa disedari oleh peniaga bangsa lain.

Mengenai peranan persatuan perniagaan pun ia tidak benar. Persatuan atau dewan perniagaan adalah tempat ahlinya daripada pelbagai sektor berkumpul dan mengetengahkan isu industri.

Pihak persatuan atau dewan perniagaan bertanggungjawab memperjuangkan isu atau mengetengahkan senarai ahlinya yang berpotensi untuk mendapat perhatian kerajaan. Persatuan sendiri tidak boleh cuba mendapatkan tender kerajaan, selain tidak bersifat mencari keuntungan.

S: Kegiatan ini dikaitkan juga aspek ketelusan pengagihan lesen. Apa komen Tuan?

J: Penguatkuasaan dan kesedaran mengenai isu integriti dalam kalangan peniaga dan kakitangan perlu diperkukuhkan. Pihak berkuasa boleh berkolaborasi dengan dewan perniagaan jika mahu menjalankan pemeriksaan atau melaksanakan seminar dan kempen kesedaran ini.

Hakikatnya, kami lebih mengenali ahli dan pemain dalam industri perniagaan. Kami boleh bantu kenal pasti peniaga yang tiada premis atau jika nama individu tertentu digunakan sebagai proksi untuk mendapatkan tender secara tidak jujur. Kempen kesedaran juga perlu lebih agresif. Contohnya, kempen antidadah dahulu yang mengaitkan dadah dengan najis. Kempen antirasuah juga perlu mengaitkan rasuah dengan perkara jijik kerana ia membekas dalam fikiran.

S: Boleh kongsi modus operandi kegiatan Ali Baba ini?

J: Mengikut konsep lama Ali Baba, penerima kontrak yang menyerahkannya kepada subkontraktor memiliki kuasa menawarkan kadar sewaan, biasanya antara lima hingga 20 peratus mengikut nilai kontrak. Namun, trend baharu sekarang bererti hampir tiada kadar sewa lesen kerana kontrak itu terus dimiliki pemilik asal perniagaan, manakala proksi hanya diberi komisen atau dibayar gaji jika proksi itu adalah pekerjanya.

Kami juga dimaklumkan segelintir pekerja tidak sedar kad pengenalan dan maklumatnya digunakan majikan untuk menubuhkan ‘syarikat Bumiputera’ supaya boleh merebut tender Bumiputera. Nama pengarah dan pemilik syarikat itu orang Melayu, namun selepas tender diperoleh, nama itu akan ditukar. Apabila sijil perniagaan perlu diperbaharui, ia akan ditukar kembali kepada nama orang Melayu untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Sudah pasti, bukan semua peniaga bukan Melayu melakukan perkara ini, tetapi ia berlaku.

S: Apa impak kegiatan ini kepada usahawan Bumiputera tulen?

J: Budaya baharu Ali Baba sudah mewujudkan stigma terhadap peniaga Melayu dan Bumiputera yang benar-benar jujur dan ikhlas menjalankan perniagaan. Pasti ada soalan yang bertanyakan siapa di belakang peniaga Melayu atau Bumiputera itu. Ia mewujudkan krisis kepercayaan peniaga Melayu dan Bumiputera.

Penilai tender juga mungkin sangsi pada kesahihan peniaga Melayu yang mahu merebut tender. Ia juga antara punca wujud stigma popular ‘Melayu malas’. Memang ada orang Melayu terbabit Ali Baba, tetapi segelintir sahaja. Orang Melayu tidak malas.

S: Benarkah sikap Bumiputera sendiri menjadi punca peluang mereka terhalang, lebih teruk diambil alih warga asing?

J: Memang ada peniaga, termasuk Bumiputera serahkan lesen kepada warga asing. Antaranya di pasar borong. Namun, pada pandangan saya, isu lesen membabitkan warga asing bukan semata-mata Ali Baba, tetapi lebih kepada aktiviti kartel. Kartel dilihat menguasai sektor tertentu, jadi mereka yang tentukan nak letak peniaga mana di kawasan mereka. Ini membabitkan isu rasuah.

Asalnya, segelintir peniaga yang malas sub (jual atau sewa) lot pasar borong atau kedai runcit kepada warga asing. Warga asing itu kemudian panggil rakan dan saudara mereka untuk terbabit sama sehingga mereka memonopoli sektor tertentu. Warga asing digajikan kerana mereka boleh dibayar upah murah. Pekerja tempatan memiliki keluarga dan rumah serta komitmen seperti kereta atau motosikal.

Jadi, tak boleh disalahkan rakyat kita yang enggan dibayar gaji rendah. Motivasi pekerja tempatan adalah untuk hidup di sini, manakala pekerja warga asing hanya mahukan duit untuk dihantar keluar ke negara asal.

S: Benarkah dakwaan peranan ahli atau parti politik tertentu menyumbang jual beli permit kerajaan?

J: Tidak ada ahli atau parti politik mendalangi atau terbabit jual beli permit atau tender diberikan kerajaan. Ini memang isu perniagaan dan keuntungan. Ahli DPMM sendiri datang daripada pelbagai parti politik dan bebas menjalankan perniagaan tanpa mengira parti tertentu. Ahli perniagaan ini mindanya hanya berlandaskan untung rugi. Amalan Ali Baba wujud juga atas faktor mengaut keuntungan dengan cara mudah.

S: Apakah benar kemudahan dimiliki Bumiputera menyebabkan mereka tidak berminat untuk betul-betul berniaga sehingga terjebak Ali Baba?

J: Ya dan tidak. Dahulu, memang ramai mengambil kesempatan apabila kelebihan diberikan kepada Bumiputera. Namun, seperti saya katakan tadi, isu Ali Baba sekarang sudah tidak sama seperti dulu. Modus operandi sekarang menggunakan proksi dan berlaku hampir di semua sektor perniagaan. Masalah sekarang berbalik kepada isu integriti dan rasuah.

Mengenai dakwaan Bumiputera tidak gemar berniaga berbanding kaum lain sehingga ada yang cenderung menjual lesen atau permit, memang ia ada dalam mentaliti peniaga dulu. Namun, peniaga Melayu dan Bumiputera sekarang rajin serta berusaha mencari peluang.

Buktinya, lihat sahaja ketika era COVID-19 ini, ramai peniaga kecil Melayu dan Bumiputera muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sebelum ini pun, ramai peniaga Melayu berusaha meneroka pasaran luar negara, menyertai dan menghadiri pameran perniagaan antarabangsa serta ada yang berjaya menjadi pembekal utama teknologi atau produk tertentu.

S: Apa cadangan DPMM untuk atasi budaya Ali Baba?

J: Saya lihat kerajaan ada melakukan beberapa langkah untuk mengatasi isu peniaga terbabit amalan Ali Baba. Antaranya, menghantar pegawai ke lapangan untuk memeriksa sama ada petender memberi maklumat benar. Namun, kita faham jumlah kakitangan tidak mencukupi untuk memeriksa semua syarikat.

Jadi, mungkin kerajaan perlu menambah jumlah kakitangan untuk melakukan tinjauan ke syarikat yang memohon projek kerajaan, sekali gus memperkemas penguatkuasaan. Selain itu, kempen kesedaran mengenai integriti dan rasuah perlu dilaksanakan secara berterusan.

Norsyahrin Hamidon

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia

Capaian: https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/781497/amp