Penubuhan Dewan

PENUBUHAN DEWAN-DEWAN PERNIAGAAN

Usaha terawal untuk mewujudkan persatuan perniagaan di negeri telah dipelopori oleh peniaga-peniaga Melayu di Kelantan pada tahun 1938 dengan penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Kelantan dalam tahun berkenaan.

Langkah yang dirintis oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan kemudiannya telah diikuti oleh lain-lain negeri. Penubuhan Dewan-dewan Perniagaan di peringkat negeri mengikut turutan adalah seperti berikut:-

  1. Dewan Perniagaan Melayu Kelantan 1938
  2. Dewan Perniagaan Melayu Perak 1951
  3. Dewan Perniagaan Melayu Johor 1952
  4. Dewan Perniagaan Melayu Selangor 1953
  5. Dewan Perniagaan Melayu Terengganu 1953
  6. Dewan Perniagaan Melayu Kedah 1956
  7. Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai 1959
  8. Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan 1960
  9. Dewan Perniagaan Melayu Perlis 1963
  10. Dewan Perniagaan Melayu Melaka 1963
  11. Dewan Perniagaan Melayu Pahang 1972
  12. Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan 1975
  13. Dewan Perniagaan Melayu Sabah 1997
  14. Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan Labuan 1997
  15. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan Putrajaya 2004

PENUBUHAN GABUNGAN DEWAN-DEWAN

Lanjutan daripada penubuhan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri (yang masing masing berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Negeri), satu badan induk yang diberi nama Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM) ditubuhkan pada tahun 1956.

Di antara individu yang bertangunggjawab di dalam pembentukan GDPMM ini adalah Datuk Mahmood Ambak (Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Perak); Haji Nik Hassan Nik Yahya (Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Kelantan) dan Datuk Raja Nasron (Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Selangor).

GDPMM ditubuhkan mengikut undang-undang Pertubuhan 1949. Ia didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan penubuhannya diluluskan secara rasmi pada 11 Julai 1957 dengan nombor pendaftar “1101 Selangor”.
GDPMM mempunyai matlamatnya sendiri dan sepertimana yang tercatit di dalam perlembagaannya, penubuhannya adalah untuk :

…”sekalian Dewan-Dewan Perniagaan Melayu di Malaya supaya bekerjasama bagi memenuhi segala
lapangan perniagaan dan mempertahankan segala hak-hak dan faedah-faedah dalam lapangan aneka
perniagaan dan membantu perusahaan-perusahaan pertanian, pelombong-pelombong aneka galian
hasil bumi, pertukangan dan pengeluaran-pengeluaran perusahaan kerajinan tempatan dan
pengangkutan, penjualan-penjualan serta lainnya dalam Negara atau di luar Negara Malaya…”

(sumber: Undang-undang Gabongan Dewan-dewan Perniagaan Melayu Se Malaya, 26 April 1956, Lampiran 2)

HALATUJU DAN PERJUANGAN DPMM

DPMM terus memperjuangkan misi mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu dalam ekonomi Negara dan antarabangsa. Imej, peranan dan keberkesanannya semakin diakui oleh pemimpin Negara. DPMM juga turut diminta membantu kerajaan terutamanya dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat pengusaha dan peniaga Melayu.

DPMM telah diberi kepercayaan untuk menjadi sekretariat yang memandu dan memantau ekonomi Melayu dengan tertubuhnya Sekretariat Agenda Ekonomi Melayu (SAEM). Di samping itu, DPMM juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menganjur Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat (KEB4) pada 10 dan 11 September 1999.

Selain daripada itu, hasil perjuangan berterusan DPMM ialah membela nasib usahawan Melayu yang terjejas akibat kemelesetan dan kegawatan ekonomi Malaysia. Maka lahirlah Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB) lanjutan daripada memorandum DPMM kepada pemimpin Negara.